Saturday, December 19, 2009

Edensor: Mesti Baca Untuk Mereka Pernah Bermimpi Untuk Mengembara

Edensor menceritakan tentang kehidupan Ikal (Andrea Hirata) dan Arai semasa mereka menuntut di Sorbone, Perancis..

Apa yang menarik ialah Ikal menceritakan tentang perwatakan rakan sekelasnya yang terdiri daripada pelbagai bangsa..diceritakan dalam bentuk yang sangat menggembirakan..namun mempunyai pengertian yang sangat dalam..Memang benar seperti yang dinyatakan penulis apabila beliau menggambarkan bahawa rakannya dari Britain amat gemar melontarkan pendapat dan menyanggah teori yang dikemukakan pensyarah mereka..namun dalam bentuk yang beradab..

Manakala dalam perbincangan, pelajar dari Amerika gemar mendominasi...lain pula halnya dengan pelajar dari German yang apabila ingin mengemukakan pandangan, mereka memberikan pandangan yang betul-betul matang,sangat hebat dalam hal matematik..

Pelajar-pelajar Yahudi pula gemar berbual sesama sendiri dengan suara yang rendah..merancang sesuatu yang seolah-olah akan mengubah negara atau lebih besar lagi dunia..

dengan nada bersahaja, Andrea mengungkapkann bahawa pelajar-pelajar dari negara membangun di dalam kelasnya seperti belajar cuma sekadar untuk lulus dan agak ketinggalan dalam memahami pelajaran..

Pandangan ini seperti ada kebenarannya..saya banyak kali mengangguk-angguk sendiri membaca pandangan penulis..sambil tersenyum..banyak lagi yang perlu diperbaiki untuk kita mencapai standard negara maju..

Lebih kagum dan bersemangat, apabila saya membaca catatan perjalanan Lintang dan Arai merentasi Eropah dan seterusnya ke Afrika..terasa saat-saat mereka susah apabila cuma memakan daun pokok ceri untuk meneruskan kehidupan.. menghadapi saat-saat sukar apabila berhadapan dengan bahaya..

Menariknya pesanan ibu Muslimah: "jika ingin menjadi manusia yang berubah, kita perlu bersekolah (menuntut ilmu), banyak membaca Al-Quran dan mengembara".

Mengembara..ya..mengembara..menariknya pengembaraan mereka berdua..banyak daerah-daerah yang dilalui dan banyak juga manusia yang ditemui..pengalaman yang menarik sekali..

Setiap apa yang diceritakan..segalanya terbayang dengan jelas di dalam minda saya walaupun saya tak pernah ke Eropah..

Dan dengan keyakinan bahawa apa yang terjadi semuanya aturan Tuhan, akhirnya Lintang tiba di Edensor, tempat yang selama ini hanya muncul dalam mimpinya..

Saya memang tak pandai mengkritik..saya cuma ingin mengesyorkan agar novel ini dibaca oleh mereka yang pernah, sering, atau sedang bermimpi untuk mengembara..walaupun bangsa-bangsa lain sangat hebat, namun dengan semangat dan keyakinan yang ada, akhirnya Lintang dan Arai mampu menandingi kehebatan rakan-rakannya yang lain... mampu..ya..kita mampu sebenarnya..asalkan kita berani bermimpi..

Edensor : Pengenalan

Saya baru sahaja selesai membaca novel Edensor,

Karya Andrea Hirata..Edensor merupakan salah satu daripada 4 buah novel Andrea Hirata di dalam tetralogi Laskar Pelangi.. Membeli novel ini di saat poket tengah sesak, sedikit pun tidak menimbulkan keresahan..kerana saya cukup berpuas hati..terasa hidup lebih bersemangat setelah selesai membacanya..

Pengalaman pengembaraan mengelilingi Eropah dan langsung ke Afrika, dengan wang yang sangat terhad, membuatkan saya tidak takut untuk bermimpi..seperti yang terjadi kepada Ikal dan Arai yang mendapat sokongan penuh F.Somke kerana mereka berani bermimpi..

Novel ini memberi semangat pengembaraan kepada pembacanya dengan diselitkan dengan keyakinan ke atas sesuatu yang telah Allah tetapkan..

Ah, tak sabar mahu bercerita lebih banyak..

Saya akan sambung lagi..


Friday, December 04, 2009

Terima kasih



Hari ini, 4 Disember merupakan hari lahir isteri saya.
sedar tak sedar dah 3 tahun saya hidup dengan isteri saya..banyak pengalaman yang kami lalui bersama..
"Selamat Hari Lahir sayang"
2 Disember yang lepas merupakan tarikh lahir emak saya..
"Selamat Hari Lahir mak"

Sewaktu awal-awal jatuh hati dengan isteri saya dulu, saya melihat tarikh lahir yang dekat antara emak dan isteri saya merupakan petanda bahawa jodoh kami dekat..hehe
manisnya zaman bercinta..lagi manis alam rumahtangga ;)

Semalam, saya fikir ingin mengejutkan isteri saya tepat jam 12 malam untuk mengucapkan selamat hari lahir..tapi saya tertidur di sofa sehingga jam 5 pagi..
Keletihan bekerja agaknya..

Mak saya melahirkan saya dan isteri melahirkan anak kami..
Terima kasih kepada kedua-dua wanita penting dalam hidup saya ini..

Sewaktu dalam tempoh pertunangan dengan isteri, saya sering menaip perkataan "sayang" setiap kali ingin menamatkan perbualan melalui sms..
saya terfikir:
"kenapa saya tak boleh ucapkan perkataan sama kepada emak saya?"
mulai saat itu, setiap kali saya menaip sms kepada emak, saya akan akhiri dengan ayat:
"sayang mak".

Apabila telah berkahwin, saya selalu mencium dahi dan pipi isteri apabila bertemu atau ingin berpisah.
saya terfikir:
"saya dah lama tak cium pipi emak saya..kenapa saya tak mulakan semula?"
mulai saat itu, saya akan mencium kedua-dua belah pipi emak saya apabila bertemu dan berpisah..

Itulah tanda sayang saya kepada emak..tanda terima kasih saya kepada emak..
saya berusaha untuk tidak melebihkan isteri..dan membuatkan emak bahagia..

Terima kasih juga kepada isteri kerana membuatkan saya sedar bahawa sedikit ucapan sayang dan satu dua ciuman boleh membuatkan hati orang yang kita sayang bahagia..

Masih saya teringat saat-saat isteri ingin melahir anak kami, Amna Huda..
Awal-awal pagi 6 Julai..pukul 2, isteri kejutkan saya mengadu sakit..saya urut belakang badannya untuk meredakan kesakitan dan ketegangan..pukul 3 pagi, tanda-tanda untuk melahirkan sudah banyak dirasai isteri..kami bersiap-siap..pukul 4 pagi, kami tiba di Hospital Selayang..

Isteri dimasukkan ke wad sementara menanti bukaan rahim lebih besar..saya menunggu di luar dan memaklumkan kepada keluarga dan rakan terdekat mengenai isteri saya..

Apabila pintu rahim isteri telah terbuka 7 cm kira-kira jam 5.30pagi, dia dibawa ke dewan bersalin..suami dibenarkan masuk..Azan Subuh berkumandang, tiada tanda-tanda bayi akan keluar..jadi saya solat subuh dahulu..

Lepas subuh, saya menemani isteri saya semula...
Ya Allah peritnya melihat isteri menahan kesakitan..perit betul...
Saya menelefon emak mertua..isteri bercakap di telefon memohon maaf kepada ibu dan ayahnya..saya turut memohon maaf..

Telefon juga mak saya..
isteri sudah tidak dapat bercakap akibat menahan kesakitan..
Sebaik mendengar suara emak di hujung talian, saya menitiskan air mata..tak dapat menahan sebak, menangis di telefon sambil memohon maaf kepada mak dan abah..
Saat itu, saya merasakan betapa besarnya pengorbanan emak untuk melahirkan saya..saya terus menangis.."mak, maafkan along..along minta maaf"..itulah ayat-ayat yang diulang berkali-kali..
melihat isteri perit menahan kesakitan..inilah juga yang emak rasakan sewaktu nak melahirkan saya dulu..

Alhamdulillah, saya dapat melihat anak saya..dapat mengazankannya, terharu..
Saat itu, saya dapat rasakan satu perasaan yg tak pernah saya rasa sebelum ini..
Tak tahu macam mana nak terangkan..perasaan menjadi seorang ayah..
Kegembiraan, keterharuan, kesyukuran, bercampur-campur..

Sekarang, anak kami sudah menghampiri usia 5 bulan... Pagi tadi sewaktu bermain-main, Huda mengangkat punggungnya seperti ulat dan bergerak ke depan bagi mendapatkan permainan yang berada di hadapannya..gembira sekali kami dengan perkembangan Huda..tilam bayi yang kami beli sebelum kelahiran huda sudah tidak kami gunakan lagi..sebaliknya, kami hamparkan toto yang lebih besar supaya huda lebih selesa bergolek, bergerak dan macam-macam lagi pergerakan termasuk pergerakan macam ulat pagi tadi..huda permata hati penyejuk jiwa kami menyedarkan saya tentang betapa tingginya kasih mak abah terhadap saya waktu kecil dulu..sebab itulah kita diajarkan tentang doa:

".......wahai tuhan kami kasihilah ibu bapa kami seperti mereka mengasihi kami sewaktu kecil dahulu"

Terima kasih mak, abah kerana kasih sayang yang diberikan dari kecil sehingga dah besar panjang..sehingga saya dah kahwin..dah dapat dapat anak..kasih yang tak berkesudahan..

Terima kasih kepada isteri tersayang yang juga memberi kasih sayang kepada saya dan menyedarkan saya tentang cara untuk menyayangi ibu bapa..juga terima kasih kerana menyedarkan saya betapa tidak ternilainya kasih sayang ibu bapa kepada anaknya..
Juga terima kasih atas kesabaran menghadapi kerenah saya..Fadliana Saman, saya begitu bertuah kerana menjadi sebahagian dari diri kamu..

Terima kasih Ya Allah atas semua kurniaanMU...terima kasih TUHAN..terima kasih..

Monday, October 19, 2009

SEPI

Dua minggu berturut-turut rumah saya dipenuhi oleh sanak saudara..

Minggu lepas, Abah dan ibu mentua datang kerana menghadiri konvokesyen adik ipar saya, Farah..
Maka rumah kami turut dikunjungi kak ipar (kak Yan), adik ipar (aishah(masih bersekolah) dan asan(UiTM))

Pada Sabtu dan Ahad yang lepas, Mak, Abah,adik Husna (dari Batu Pahat), Kak Ngah (dari Gemas) dan EE (Uia) dan Mak Jang, Pak Jang, Tok dan Wan dari Kedah bertandang ke rumah kerana ingin bercuti bersama..

kebetulan mak dapat cuti sedikit panjang kerana Deepavali..

Tok dan Wan pula teringin benar berjumpa dengan cicit mereka, Amna Huda..
Keluarga kami dah bertambah besar rupanya..
sayu bila dengar tok cakap "Takut tak sempat tengok Huda..sebab tu kami mai"..

Hari ni, rumah kami sepi kembali..
Rindu pada hilai tawa dan gurau senda adik beradik..

Rindu saat kami makan beramai-ramai..
Rindu pada adik beradik yang sentiasa mengerumuni Huda bila dia terjaga..
Rindu pada keletah masing2 yang berebut2 mendukung Huda..
Rindu pada semua..

Hari ini, rumah kami sepi kembali
Harapnya Huda tak merasai kesepian ini..dan mengubati sepi..
Dengan senyum girang..

Friday, October 09, 2009

Yang Paling Bahagia

Selalunya,

Bila menghadapi saat-saat sukar di pejabat,
saya akan teringatkan anak saya..
Amna Huda..

Saya sentiasa menantikan saat pulang dari pejabat..
melihat dia tersenyum dan ketawa...
melihat dia seakan teruja menanti saya mendukungnya..
sambil tangan dan kakinya bergerak girang..
membuat saya terlupa masalah-masalah yang melanda..
itulah saat yang paling bahagia..

Tuesday, October 06, 2009

Amna Huda Demam

Hari Ahad yang lepas,

Sebaik selesai Solat Subuh, isteri mengadu kepada saya yang Amna Huda demam..
Saya rasa kepada Huda yg sedang nyenyak tidur..memang panas..
Saya ambil jangka suhu yang baru saja kami beli..letakkan di dahi Huda..
Wah, 38.5 darjah celcius..agak tinggi..

Jadi, saya dan isteri buat keputusan utk membiarkan Huda memakai lampin sahaja supaya suhunya turun..dalam masa yang sama, isteri breastfeed Huda dengan kerap kerana itulah nasihat doktor bagi mengurangkan suhu badan bayi...
walaupun tgh tidur, Huda dikejutkan agar dapat menyusu..
memang lama juga Huda minum dalam keadaan mamai selepas tidur..

Huda dilihat sukar bernafas..Huda dah kena selesema...Huda merengek-rengek sedikit kerana hidungnya tak selesa..

Tapi kami tetap meneruskan perancangan utk beraya pada hari tersebut.. 3 rumah kami kunjungi..suhu badan Huda naik dan turun...jadi kami buat keputusan untuk ke klinik berhampiran rumah..

Alhamdulillah, walaupun demam, Huda tak buat perangai sangat..cuma kadang2 merengek sebab hidungnya tak selesa..Huda masih macam biasa..berbual-bual dengan bahasanya dan ketawa bila diagah..

Sampai sahaja di klinik, ambil nombor giliran..
Bila sampai giliran Huda, saya dan isteri bawa Huda masuk jumpa doktor..
Macam biasa, doktor tanya2 dan cek Huda..
Dan yang menariknya, Huda berbual-bual dengan doktor yang tengah bercakap dengan ummi dan abahnya..bila doktor cek denyutan jantung huda, Huda ketawa..
Doktor cakap: " macam tak demam je pun"..
Hahaha..terhibur kami dengan keletahnya..

Alhamdulillah, semalam, Huda dah tak demam lagi..cuma hidungnya sahaja yang berhingus..

Abah dan Ummi Huda bersyukur sangat kerana demam Huda dah sembuh..

Sunday, September 27, 2009

Hari Raya

Hari Raya kali ni,
Pertama kali kami merayakannya bertiga..dengan kehadiran Amna Huda..
Mak, Abah, Mak Mentua, Bapa Mentua, Adik-adik, Kakak Ipar dan adik-adik ipar, masing2 tak sabar nak beraya dengan kehadiran Huda..

Hari Raya Pertama,
kami ke Melaka, singgah seketika di Parit Sulong..sesudah lewat malam, baru pulang..banyak sekali rumah-rumah saudara mara yg dikunjungi..

Ini gambar yang diambil dengan tok, wan dan pakcik-pakcik dan makcik-makcik Huda di Batu Pahat

Hari Raya kedua,
kami pulang ke JB..jumpa atok dan nenek Huda pula..

Huda bergambar dengan atok,nenek dan makcik2 di JB

Dari Raya kedua hingga keenam, tiap2 hari kami beraya..
dari JB, Plentong, Kota Tinggi, Felda Adela, Felda Pasak, Felda Lok Heng dan Segamat..semua rumah saudara mara kami redah..lewat malam baru sampai rumah..
Alhamdulillah sepanjang beraya, Huda tak buat perangai..
Malah Huda gemar sekali melihat pemandangan luar kereta sepanjang perjalanan..
Tak boleh nak baringkan dalam kereta, Huda pasti merengek..
Huda nak duduk dan berdiri aje..lenguh makcik-makcik dan pakcik-pakcik Huda nak pegang..
Kalau ada perkara yang menarik hatinya, pasti Huda melompat2 (lagi lenguh la tangan org yg memegangnya..hehe)

Di dalam cuti Raya juga, banyak perkara baru mengenai Huda..
yang pertama: Huda baru menyedari dia mempunyai tangan..sepanjang hari Huda asyik dengan tangannya..melihat-lihat tangannya bergerak..Huda baru menyedari dia ada tangan..hehe..kadang2 sampai ketawa melihat tangannya sendiri..

Lama-kelamaan, huda juga menyedari dia ada kaki..mula-mula saya fikirkan apalah yang huda tengah buat asyik pandang ke bawah sahaja bila didukung..2 3 hari kemudian, barulah umminya sedar yang rupa-rupanya Huda sedang asyik melihat kakinya..hehe..

Huda juga sudah pandai menonton TV..kalau diletak di depan TV, pasti dia asyik sahaja berbual dan ketawa..mungkin Huda menyangka yang para pelakon dan pengacara di TV sedang mengagah-agahnya..hehe..seronok melihat gelagat Huda..

Itulah cerita sepanjang seminggu kami pulang ke Batu Pahat dan JB..esok, kami akan pulang semula ke Kuala Lumpur..esok, Isnin, kami cuti kerana nak elakkan kesesakan jalan raya..
Sudah tentu Tok Wan, Tok, Atok dan Nenek serta pakcik2 dan makcik2 akan merindui Huda dan gelagat2 Huda yang comel..

Saya dan isteri akan kembali bekerja hari Rabu..sindrom malas dah mula melanda..hehe..Ok, itu sahaja untuk kali ni..semoga kita meneruskan amalan-amalan kita pada bulan Ramadhan dalam bulan-bulan yang lain juga kerana amalan yang terbaik ialah amalan yg sentiasa dilakukan dengan istiqamah..

p/s: tahniah kepada PaiJo (Fairuz Johari: Majistret Melaka) dan isteri di atas kelahiran cahaya mata pertama (Afiq namanya) (Saya sempat melawat mereka di Parit Raja, BP)

Gaya terbaik Huda (pedulikan abahnya)

Tuesday, September 01, 2009

Botol Susu

Huda baru berumur sebulan setengah..
sudah berada di KL sejak minggu lepas..
Huda juga sudah pandai berbual-bual..tak faham apa yang dibualkan..tapi saya melayannya saja..hehe..sejuk hati melihat huda tersenyum..

kalau tak ada orang sekeliling nak melayan dia berbual, Huda akan berbual dengan kipas..hehehe..kelakar juga..tapi memang terbukti..apabila terjaga dan tak ada org lain nak layan, Huda akan memandang kipas yang berputar dan berbual-bual..kadang2 sampai ketawa..
apabila melihat keadaan ini, saya dan isteri bercadang membeli permainan untuk huda..
permainan yang boleh digantung..dan bergerak2..mungkin dapat merangsang pembentukan minda huda..

yang atas tu, pembukaan, perenggan berikutnya adalah isinya..

semasa cuti hujung minggu yang lalu,
isteri dan saya bercadang memberi huda minum susu ibunya melalui botol susu memandangkan sejak di KL, Huda belum pernah minum susu menggunakan botol..
tapi, alangkah peritnya untuk melatih huda minum susu menggunakan botol..dia menangis teresak2..jadi umminya pun bagi la susu badan..terus dia diam..

tapi, pengajaran untuk kami, jangan ikutkan sangat kehendak anak..
setelah dapat tahu ummi dan abahnya akan beralah kalau menangis teresak-esak,
maka huda akan menangis teresak2 kalau kehendaknya tak dituruti...dah jadi habit pula..pergh..letih mahu melayan..kami buat kesimpulan, jangan ikut sangat..kalau Huda menangis, kami akan biarkan sehingga dia berhenti sendiri..lama kelamaan, tabiat tersebut berkurang..tapi masih ada kesannya sedikit..kadang2 dia masih teresak2..

semalam, saya keluar sendirian membeli barangan keperluan rumah..banyak juga barang yang perlu dibeli..peti sejuk pun dah bertambah besar..hehe..kami buat keputusan agar umminya menjaga Huda di rumah kerana bimbang dengan penularan H1N1 sekarang ni..

semasa saya keluar membeli barangan keperluan (kehendak pun ada juga), tinggallah isteri menjaga Huda..dan Huda buat perangai lagi..tak nak minum susu menggunakan botol..umminya tak larat nak melayan..akhirnya mengalirlah air mata ummi Huda..dan yang ajaibnya, Huda terus berhenti menangis dan seolah-olah ingin memujuk ummi yang menangis..dia berbual-bual dengan umminya..hehe..pandainya Huda..hati ummi pun terubat..hilang segala keletihan..
selepas tu, redalah sedikit keengganannya untuk minum susu dari botol..nampaknya ummi kena menangis lagi kalau nak Huda buat sesuatu..hehe..guna taktik Huda juga..

Oh, untuk makluman semua, kami ingin melatih huda minum susu dari botol kerana minggu depan, umminya akan kembali semula bekerja..huda akan dijaga oleh pihak nurseri..

perenggan berikutnya ialah kesimpulan..

pengajaran 1: jgn ikut sangat kehendak anak kalau dia menangis untuk mendapatkan sesuatu..kalau nak bagi juga, biar dia berhenti menangis terlebih dahulu..baru beri..

pengajaran 2: kadang2 kita juga perlu menangis supaya anak2 menuruti kehendak kita (macam dalam drama..hehe)

Tuesday, August 18, 2009

Menanti Kepulangan

Minggu depan,
InsyaAllah Huda dan Umminya akan pulang ke Kuala Lumpur..
Saya sudah kemas rumah untuk menanti kepulangan Huda..hehe..
Saya dah beli 'vacum cleaner'..selama ni kami cuma menggunakan penyapu untuk membersihkan habuk-habuk..

Tetapi kerana risaukan keadaan kesihatan Huda, saya dah beli 'vacum cleaner' semalam..
supaya habuk-habuk yang degil dan bersembunyi dapat saya kumpulkan di dalam 'vacum cleaner' tersebut dan buang jauh-jauh agar tak mengganggu sistem pernafasan Huda..

Juga saya telah membuat tinjauan untuk membeli peti sejuk yang baru..peti sejuk yang ada 2 pintu..peti sejuk yang ada sekarang cuma ada 1 pintu..
wah, dah ada baby nak peti sejuk lagi besar ye?..bukan, bukan nak membesarkan peti sejuk..
cuma susu ibu dapat lebih tahan sekiranya disimpan di bahagian beku peti sejuk 2 pintu..dan melalui pembacaan, ibu bapa tidak digalakkan untuk menyimpan susu di dalam peti sejuk 1 pintu..dirisaukan tidak tahan lama..

Kami sudah merancang untuk memberi penyusuan susu ibu secara eksklusif kepada Huda sehingga umurnya 2 tahun..insyaAllah..jadi banyak susu perlu disimpan supaya mencukupi apabila Huda dihantar ke 'nurseri' nanti..

Oh, mengenai peti sejuk, nampaknya Carrefour menjualnya dengan harga yang lebih murah berbanding tempat lain..jadi, kemungkinan besar saya akan beli peti sejuk di situ.

Dan, ada sesiapa yang nak beli peti sejuk dengan harga yang murah?...harga boleh tawar dan saya jamin lebih murah dari mana-mana kedai berhampiran kediaman anda..kalau nak peti sejuk:

Jenama: Toshiba
Tahun pembelian: 2008
harga ditawarkan: RM250 (boleh runding)/(juga boleh bayar ansuran)
kami menjaganya dengan baik..

Sila hubungi saya ya..gambar peti ais kesayangan kami ini akan saya muatnaik kemudian ya..
ok..bye

Wednesday, August 12, 2009

Amna Huda sewaktu berusia 7 hari











Gambar-gambar di atas ialah Gambar Amna Huda sewaktu berusia 7 hari..
Hari ni hari cukur jambul..
Sebelum kepala Huda dicukur, ada majlis kesyukuran...
Paling tak dapat dilupa ialah apabila saya perlu menyuapkan buah kurma yang telah dihancurkan ke mulut huda..
dan apabila jari saya disua sahaja berhampiran mulutnya, terus sahaja dihisapnya jari saya yang mengandungi kurma hancur..seperti dah lama tak makan..haha..
tetamu yang hadir turut kagum dan terhibur..sayangnya tak ada yang mengambil gambar kerana terlalu teruja melihat huda menghisap jari saya..
Yang mengendalikan majlis tersebut ialah Imam Besar Masjid UTHM..
Gambar terakhir, ustaz tengah menyuapkan air zam-zam pada huda..juga dihisapnya sudu tersebut..
Huda ni, pantang dibuka bedung, pasti tangannya akan tak tahulah nak huraikan..tapi macam gambar-gambar di atas..antara saat-saat yang paling saya suka bersama Huda ialah apabila Huda berada di pangkuan saya untuk ditidurkan...dapat membuatkan huda tidur di lengan saya macam satu kepuasan..tenang...hari ni hari Rabu, saya sudah rindukan saat itu..Jumaat ni saya akan balik Johor..isteri dan anak berada di sana menghabiskan tempoh berpantang..
Rindunya anak saya..puteri saya..buah hati saya..penyejuk jiwa saya..
Rindu pada permaisuri hati saya juga..

Tuesday, August 04, 2009

Gambar Amna Huda - 6 Julai 2009

Tiga gambar di atas merupakan gambar Amna Huda pada hari pertama dilahirkan..beberapa jam setelah keluar dari rahim umminya...

Lahir melalui kaedah caesarian, bayi tidak dapat dibawa bersama-sama ibu ke dalam wad kerana memerlukan pemantauan..oleh itu, saya perlu ke bilik khas yang menempatkan bayi-bayi yang baru sahaja dibersihkan selepas keluar dari rahim ibu masing-masing..

Setelah mengiringi isteri ke wad, saya bergegas ke bilik yang menempatkan amna huda..dalam perjalanan..hati berkata: bagaimanalah rupa anak saya..semakin dekat dengan bilik tersebut, semakin berdebar-debar hati saya..

jumpa nurse, bagitau nama isteri, baru nurse tunjukkan anak saya..alhamdulillah, bersyukur tak terkira, setelah dua tahun lebih penantian kami dikurniakan seorang cahaya mata yang comel..sejuk hati memandangnya..

Saya bagitau nurse saya nak azankan bayi..nurse tunjukkan arah kiblat..dan bertanya: encik boleh angkat ke?...eh, kekok saya dibuatnya..nurse angkat bayi saya dan letakkan pada tangan..maka saya pun mengazankan bayi saya pada telinga kanan dan iqamah pada telinga kiri..selain itu, saya membaca 3 qul dan dihembuskan di ubun-ubun bayi (lagi 1 surah saya terlupa..Surah ini boleh dibaca supaya anak-anak lembut hati dan mendengar kata ibu bapa..terlupa saya..surah apa ya? boleh tolong ingatkan saya?)..semoga bayi ini dilindungi Allah..setelah itu, saya letakkan semula anak saya di katil bayi, di bawah sinaran lampu yang mungkin membuatkan bayi berasa selesa..

Saya perlu pulang terlebih dahulu dan datang semula pada waktu melawat yang dibenarkan kerana kes H1N1 menyebabkan hospital selayang mengetatkan aktiviti pelawat di hospital..

Tuesday, July 28, 2009

Nama

ada apa pada nama?

Pada saya nama melambangkan peribadi kita..
nama juga melambangkan harapan bapa kepada anak di saat memikirkan nama yang sesuai dengan nama anak itu..nama ialah doa kepada anak itu..

Memberi nama yang baik kepada anaknya adalah tanggungjawab bapa kepada anaknya..

Saya pernah terbaca tentang riwayat seorang bapa yang datang mengadu kepada Saidina Umar (Redha Allah ke atasmu) tentang kelakuan anaknya..si bapa mengadu itu dan ini...Saidina Umar memanggil anak tersebut...perkara pertama yang ditanya oleh anak tersebut ialah:

"apakah tanggungjawab bapa ke atas anaknya?"

Saidina Umar memberikan jawapan. saya tak ingat semuanya..tapi salah satu daripada tanggungjawab itu ialah:

"memberi nama yang baik kepada anaknya"

Nah, kawan-kawan! nama yang baik kepada anak ialah tanggungjawab bapa..

Maka, sudah tentu saya dan isteri memikirkan nama yang terbaik untuk anak pertama permata hati kami:

Maka, nama yang dipilih ialah : Amna Huda Adnin

Amna = Aman, Tenang - Moga-moga anak ini dikurniakan ketenangan dan keamanan sepanjang hidupnya di dunia dan akhirat.

Huda = Petunjuk - Saya mendoakan anak ini sentiasa mendapat petunjuk daripada Allah S.W.T dalam setiap tindakan dan juga keputusan yang diambilnya..hatta keputusan yang sekecil-kecilnya sehinggalah yang sebesar-besarnya..Allah lah segala-galanya dalam hidup kita..

Adnin = Taman, Syurga - Adnin dipilih bagi melambangkan keturunan kami..selepas ini, setiap anak akan saya letakkan adnin pada nama mereka..ye la, nak guna syed ke, nik ke, tunku ke..dah tak boleh..jadi saya ambil la perkataan yang jarang digunakan..dan kebetulan nama Adnin adalah gabungan nama saya dan isteri...adnin juga adalah perlambangan dan harapan agar anak-anak kami mempunyai pemikiran yang futuris..memandang ke hadapan..dan wawasan yang tertinggi ialah hari akhirat..masa di mana kita akan dihidupkan semula..semoga anak ini dalam setiap tindakannya, akan memikirkan tentang hari yang telah dijanjikan..

Inilah nama anak kami: Amna Huda Adnin binti Mohd Nadmin

p/s: gambar tak sempat upload..

Wednesday, July 08, 2009

Kelahiran Permata

Alhamdulillah,

Berkat doa dan harapan semua,
Isteri saya telah melahirkan cahaya mata penyejuk jiwa kami berdua pada
6 Julai 2009 jam 9.45 pagi di Hospital Selayang..

Bayi perempuan..berat 3.01kg

Doakan semoga semuanya berada di dalam kesihatan dan kerahmatan Allah..

Thursday, June 18, 2009

Lasykar Pelangi

Kawan-kawan,

Kemalasan untuk bekerja telah melanda saya pada pagi ini..bermula dengan tidur selepas solat Subuh pagi tadi..wah..terasa sangat mengantuk..dan rasa malas..

Kawan-kawan,
Dalam beg yang saya bawa ke tempat kerja hari-hari, saya bawa novel Lasykar Pelangi..rasa ingin bermalas-malas, baring-baring sambil baca novel tersebut..dan habiskan novel itu hari ini juga..saya baru baca 1/3 daripada jumlah muka surat novel itu..memang best..kebiasaannya, novel-novel yang saya beli, saya akan habiskan hari itu juga...kalau tak mampu, mungkin 2, 3 hari..tapi memandangkan terlalu banyak perkara yang perlu diselesaikan dan terlalu penat apabila pulang dari kerja..saya tak dapat habiskannya walaupun dah hampir seminggu saya membelinya..

Kawan-kawan,
Saya membeli novel Lasykar Pelangi di MPH Alpha Angle (Jaya Jusco) di Wangsa Maju..berdekatan dengan rumah sewa saya..apabila mendengar mengenai cerita arin (http://arennaz.blogspot.com/) mengenai filem ini, hati saya melonjak-lonjak untuk mengetahui mengenai apakah sebenarnya Lasykar Pelangi dan bagaimanakah cara Andrea Hirata menulis novel (memandangkan ini novel pertamanya) sehingga diangkat ke layar lebar?..

Tapi,
Malangnya, saya rasa dalam kunjungan yang entah ke berapa kali, barulah saya menemui novel ini..itupun dengan bantuan isteri dan adik ipar saya..rupa-rupanya novel ini tersorok di rak yang terbawah di kedai buku tersebut..bukan, bukan rak untuk pameran..tapi rak untuk simpan buku..memang betul-betul tersorok..

Memang seronok membaca buku ini..saya rasa lebih baik membaca novel ini sebelum menonton filemnya..barulah anda boleh berimaginasi tanpa dihadkan oleh bayangan filem..kisah tentang 10 orang kanak-kanak yang lahir dalam keluarga yang serba kekurangan..namun mempunyai semangat untuk terus belajar..juga kisah mengenai sekolah yang akan ditutup sekiranya jumlah murid yang baru mendaftar tidak cukup 10 orang..kisah guru yang mengajar bukan untuk menyara hidup, tetapi kerana tanggungjawab kepada agama dan bangsa..

Dalam 1/3 novel ini (yang baru saya baca)..saya sangat kagum dengan kesungguhan para Lasykar Pelangi ini (10 orang kanak-kanak itu) untuk menuntut ilmu..sehingga Allah memberi kelebihan kepada salah seorang daripada mereka (Lintang namanya) untuk mudah memahami teori matematik dan kemudian menghuraikan kepada rakan-rakan dalam bentuk yang lebih mudah difahami..

Kawan-kawan..memang menarik novel ini..bacalah.anda akan merasakan anda juga salah seorang daripada Lasykar Pelangi itu..dan untuk makluman semua, novel yang saya beli itu merupakan cetakan kedua yang dikeluarkan oleh PTS Litera..

ok, saya nak memulakan tugas hakiki saya..

Monday, June 15, 2009

Taska Oren

Kawan-kawan,
Baru sebentar tadi..tengahari tadi..waktu rehat tadi, saya dan isteri telah mendaftarkan anak yang bakal lahir untuk ditempatkan atau dijaga atau diasuh di Taska Oren (Apa? Oren?)

Tak apalah kawan-kawan..taska ni dinamakan Taska Oren mungkin sebab bangunannya dicat dengan warna oren kot..atau mungkin buah oren merupakan buah kesukaan kanak-kanak..atau mungkin buah oren mempunyai khasiat vitamin C yang tinggi..sekaligus menyebabkan ibu bapa berasa yakin, yang anak-anak mereka tak akan mudah terkena selsema..hehe

Alhamdulillah, di sebalik saya dan isteri sedang tercari-cari pusat jagaan berdekatan dengan tempat kerja, saya mendapat emel mengenai pusat jagaan tersebut..

Untuk makluman kawan-kawan, Taska Oren ni terletak di dalam kawasan MATRADE..berada di bawah pentadbiran Koperasi MATRADE..Allah telah memudahkan kerja kami..pusat jagaan lain di kawasan sekitar tempat kerja saya, Kompleks Kerajaan Jalan Duta, dan juga tempat kerja isteri saya, JKR Jalan Sultan Salahuddin telah penuh..

Perancangan kami, bayi yang bakal lahir nanti akan diberi penyusuan eksklusif selama 2 tahun..dan Taska ini turut memahaminya..menurut Pengurus Taska, semua ibu bapa yang menghantar bayi ke Taska ini memberi minum susu ibu..jadi mereka telah menyediakan peti sejuk khas untuk menyimpan susu...Pengurus dan pekerja ini juga faham dan mahir cara-cara mengendalikan susu-susu yang akan diberikan kepada bayi yang ditempatkan di bawah jagaan mereka..Alhamdulillah..

Selain itu, kami juga diterangkan bahawa bayi yang dihantar ke Taska ini mempunyai katil mereka sendiri dan tak akan bertukar katil..satu bayi, satu katil..kami juga diterangkan bahawa setiap alat mainan akan dicuci dengan Dettol setiap hari..demikian juga dengan katil dan lantai, akan dilap dengan cucian dettol bagi memastikan kebersihan terjaga..

Setelah diberi penerangan, kami dibawa melawat sekitar Taska..seronok melihat bayi-bayi yang comel tidur di atas katil mereka..anak-anak yang sudah agak besar, yang dah boleh berjalan, ditempatkan di bilik yang berasingan..

Setelah berpuas hati, kami pun membayar yuran pendaftaran..jadi, bulan September nanti, InsyaAllah, kami akan menghantar bayi kami ke Taska Oren..dan setiap waktu tengahari, isteri akan ke sana untuk menyusu bayi kami..perjalanan dari tempat kerja isteri ke Taska ini mengambil masa lebih kurang 10 minit..

Jadi kawan-kawan, barulah saya merasakan yang setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka..saya lebih menyedari kasih sayang mak dan abah saya di saat saya bakal menjadi seorang bapa..InsyaAllah, saya akan memberikan kasih sayang yang secukupnya untuk mak dan abah..mungkin tak sama dengan kasih dan sayang yang mereka curahkan kepada saya selama ini..tapi saya akan wajibkan diri saya untuk mendoakan mereka setiap kali selepas solat, telefon mereka seminggu sekali, dan cium pipi mereka setiap kali bertemu..InsyaAllah..semoga ini dapat menggembirakan hati mereka..dan membuatkan mereka bahagia..

Wednesday, June 10, 2009

Ke Hospital Selayang

Semalam, 9 Jun 2009 (Selasa)

Saya dan isteri telah ke Hospital Selayang kerana isteri saya telah dirujuk ke hospital tersebut..
Sebelum ni, isteri menjalani rutin pemeriksaan ibu hamil di Klinik Kerajaan..
Memandangkan usia bayi di dalam kandungan telah menjangkau 36 minggu, dan kedudukan bayi tidak normal iaitu songsang (jenis breech) (kepala di atas), maka kami dirujuk ke Hospital Selayang..

Dengan semangat yang meluap-luap, kami tiba di Hospital seawal jam 7.30 pagi..mulanya kami fikirkan akan ada tarikh lain untuk temujanji..jadi kami cuma ingin dapatkan tarikh temujanji dan terus ke pejabat selepas itu..

Tapi, doktor telah menahan kami di klinik...kami perlu bertemu doktor pada hari semalam juga berdasarkan surat daripada klinik... penantian memang satu penyeksaan..memandangkan belum ada pesakit lain yang sampai dan doktor sibuk menguruskan hal lain, kami dinasihatkan untuk bersarapan terlebih dahulu dan datang semula jam 9.00 pagi..

Setibanya kami semula di klinik, telah ramai pesakit..isteri pula perlu menjalani prosedur pemeriksaan ibu bersalin yang biasa dilaluinya...timbang berat, cek tekanan darah, cek urin..

dalam masa menunggu, kami perlu mengikuti penerangan mengenai penyusuan susu ibu kepada bayi... Kerajaan telah mengambil langkah proaktif agar bayi-bayi di Malaysia diberikan susu ibu secara ekslusif (tanpa ada campuran makanan atau air lain) sepanjang 6 bulan..kemudian disambung untuk tempoh 2 tahun..

bagi ibu-ibu yang bekerja, turut diajar cara-cara menyimpan susu agar tahan lama dan bayi-bayi masih dapat meminum susu ibu walaupun pada waktu tersebut, ibu di tempat kerja..

dalam memberi penerangan tersebut, apa yang mengagumkan saya ialah cara jururawat memasukkan unsur-unsur dakwah (memandangkan yang mendengar ceramah bukan di kalangan muslim sahaja)..dimasukkan ayat Al-Quran terjemahan mengenai ibu perlu menyusu bayi sehingga bayi berumur 2 tahun..

Apabila menerangkan mengenai makanan-makanan yang patut ibu-ibu makan setelah melahirkan bayi dan juga untuk membanyakkan susu badan, jururawat tersebut memasukkan ayat dari surah Maryam mengenai suruhan Allah agar Maryam (ibu Nabi Isa) menggoncang pohon tamar untuk mendapatkan buah tamar..Untuk pengetahuan, buah tamar dan buah kismis amat digalakkan untuk dimakan oleh ibu-ibu yang sedang menyusu bayi..kerana kandungan khasiat buah-buahan ini..

Bahkan, saya turut pernah mendengar Hadith Rasulullah daripada corong radio IKIM.fm mengenai perintah Rasulullah agar para suami memberi ibu yang sedang hamil buah tamar untuk dimakan...

Di akhir ceramah tersebut, jururawat yang amat profesional dan berpengalaman ini turut memberi pandangan bahawa Al-Quran bukan diturunkan untuk memberi rahmat kepada orang Islam sahaja..sebaliknya kepada semua manusia dan semua makhluk Tuhan...dan Jururawat tersebut turut menambah bahawa kesedaran mengenai susu ibu di Malaysia cuma wujud setelah kajian orang Barat dan kempen-kempen yang saintis Barat jalankan..

Setelah selesai mendengar ceramah, barulah kami dibawa bertemu pakar..setelah isteri saya diperiksa, doktor bertanya, bagaimana kalau kedudukan bayi masih tak normal ketika mencapai usia 38 minggu dalam kandungan?

kami diam..
doktor menanti jawapan..
Isteri bersuara "Doktor, selain caeserian, tak ada cara lain ke?"
Doktor jawab "ada...tapi kebanyakan pakar sekarang lebih suka caesarian apabila kedudukan bayi tak normal"...
kami berdua diam seperti tak menyetujui kaedah caesarian (walaupun kaedah ini dipelopori dan dicipta oleh Ibnu Sina)..

Berdasarkan kajian, bayi yang lahir melalui caesarian lebih mudah terdedah kepada penyakit berbanding bayi yang lahir secara normal..kajian juga menunjukkan bayi yang lahir secara caesarian 6 bulan terlewat dalam menyesuaikan diri dengan bakteria berbanding bayi yang lahir secara normal..semasa bayi yang lahir secara normal, keluar dari rahim dan melalui ovari ibunya, bayi ini telah terdedah kepada bakteria baik yang terdapat pada ovari ibunya..Oleh itu, pendedahan awal kepada bakteria-bakteria telah diberikan kepada bayi tersebut dan memberikan imunisasi kepada tubuh bayi untuk menentang bakteria luar..

memandangkan doktor melihat kami agak keberatan untuk menggunakan caesarian, doktor mencadangkan satu kaedah iaitu ECV (saya tak ingat nama panjangnya)...
"itupun kalau saya ada waktu awak nak melahirkan nanti"...

ECV ialah kaedah di mana doktor akan membetulkan kedudukan bayi sebelum bayi dilahirkan..
mengikut kata doktor, tak banyak doktor yang boleh menggunakan cara ini memandangkan pengalaman dan kepakaran perlu ada pada doktor tersebut..

Kawan-kawan, sekarang minggu ke 36..lagi 2 minggu sahaja minggu ke 38..jadi saya perlu berusaha agar bayi kami kembali ke kedudukan normal..doktor juga menunjukkan yang kepala bayi betul-betul berada di bawah dada isteri saya..memang dapat dirasakan bonjolan kepalanya..
saya bergurau "Mungkin baby nak dekat dengan hati umminya..mungkin baby nak selalu dengar saya berbual dengan umminya..mungkin baby nak dengar ummi baca quran."

Buat masa sekarang saya cuma berdoa agar bayi kembali ke kedudukan normal...mungkin ada kaedah alternatif...ada sebarang cadangan?..

Wednesday, May 27, 2009

Cerita Modul Tentera - DPA

Para pembaca sekalian,

dalam 2, 3 keluaran yang lepas saya banyak kali berjanji untuk menceritakan kisah-kisah DPA..maaflah..tak sempat..banyak sangat ceritanya..cuma saya pernah menceritakan pengalaman di Modul Polis..memandangkan saya berasa terhutang sesuatu dengan anda sekalian maka saya ringkaskan sahaja cerita DPA..terutamanya modul-modul luar yang sangat indah untuk dikenang tetapi tak mahu diulang..minggu ni saya nak cerita pasal modul Tentera..

Modul Tentera

modul tentera diikuti di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA)Ulu Tiram, Johor..


Gambar-gambar di atas diambil pada hari terakhir kami di Ulu Tiram..amat menyeronokkan..kerana kami diumum sebagai platun terbaik..salah satu gambar tu ada gambar saya bawa bendera merah sambil membantu rakan sebelah angkat kotak peluru..gambar yang atas sekali, waktu kami meraikan kejayaan apabila kami pasukan awal yang tiba di garisan penamat setelah mengangkat kayu balak, merentas tali melalui kolam yang busuk, mengangkat kotak peluru, membawa bendera, dan membawa bersama 10 biji telur ayam..syarat utama ialah:
-tak boleh jatuh kolam waktu merentas guna tali yang ditarik oleh rakan-rakan yang lain
-bendera, kotak peluru, kayu balak tak boleh tersentuh tanah atau air.
- telur tak boleh pecah..

terjadi perkara di atas, markah akan ditolak...tamat sahaja acara log relay, maka tamatlah modul Tentera..dan upacara penutup penuh tradisi diadakan..memang rasa macam tentera..cuba lihat gambar yang ke-3 dari atas..yang kotak dibalut dengan pembalut warna biru tu adalah hadiah kami..dan sijil kami pula dalam bekas silinder merah tu..
Gambar kat atas ni, waktu kami kena bermalam dalam hutan...kebetulan hujan turun dengan lebat..kami belajar cara buat serangan hendap..dalam pukul 12.00 malam, kami disusun satu baris, berjauhan antara satu sama lain..formasi untuk buat serang hendap juga diajar..bayangkan..dalam pukul 3 pagi baru musuh lalu..maka berdentum la tembakan M-16 dilepaskan..wow..thrill betul!!!..jadi gian menembak..sementara menunggu musuh lalu, kami kena la meniarap...sambil pegang M16..berapa kali tersengguk pun tak tau..haha...dan ada juga member yang main tembak saja bila dengar orang lain tembak..tak nampak pun musuh..haha..

Gambar kat atas pula diambil waktu kami dikenalkan dengan senjata-senjata yang digunakan oleh Tentera, iaitu selepas selesai ujian menembak..setiap senjata diterangkan tentang cara nak guna,kegunaan, jauh jarak tembakan..banyak lagi la..tapi kami bukan nak kenal sangat dengan senjata...nak bergaya dengan senjata adala...haha..tengok la gambar tu..
Itu saja cerita saya..tengok gambar memang nampak seronok dan memang seronok..banyak pengalaman dan pengajaran..tapi bila dikenang, berapa kilometer kami kena merangkak, jalan laju, jalan itik..berapa ribu kali kami didenda untuk bangkit tubi..tekan tubi.."squad jump"..memang tak terkira..dan kesannya, mental makin kuat..badan makin "tough"..haha..walaupun waktu tu, hati menyumpah-nyumpah bila didenda..SEKIAN..

Wednesday, May 13, 2009

Bos Tak Ada

Salam para pembaca budiman (termasuk kawan-kawan, dan isteri dan sedara mara)..haha..
Hari ni bos saya tak ada (immediate boss dan juga pengarah)..
Seorang kursus PTK dan seorang menghadiri kursus di Langkawi..
biasanya apabila bos tak ada, maka anak-anak buah akan senang hati..
macam ada satu kata pepatah:

"bila kucing tak ada, tikus akan keluar menari-nari"

tapi lain jadinya saya..bos tak ada, saya susah hati..
(ini bukan penyataan untuk membodek bos bagi mendapat markah lebih untuk penilaian tahunan..haha..dan bos saya tak tau pun saya ada blog)

betul..memang susah hati..
kerana di Bahagian Pengurusan Sumber Manusia ni..kami sering berurusan dengan manusia..dengan staf...dengan pihak-pihak atasan..
mungkin saya tergolong dalam golongan yang susah untuk buat keputusan dengan kadar yang segera...mungkin saya ada penyakit otak lambat berfikir dan menganalisis data..selalunya saya perlu tunggu dulu...fikir..fikir..fikir..baru dapat bagi keputusan...saya kena fikir banyak sudut..baru puas hati bagi keputusan...

kalau keputusan yang nak dalam kadar segera..maka susah la saya..
biasanya saya terus minta pandangan bos...memang bos saya dapat fikir dengan cepat..
terus aje bagi cadangan...

"betul tu bos..ok..terima kasih..tak terfikir pula tadi" itu jawapan normal saya..

saya selalu kagum dengan bos saya...memang jadi rutin, bos bagi cadangan, saya akan laksanakan cadangan tu sebaik mungkin..

lagi satu,
saya susah hati sebab bos tinggal kerja untuk saya..huhu...
lepas tu, kalo ada surat-surat yang perlu dijawab, maka saya lah yang kena menjawabnya atau ambil tindakan..
apabila ada orang datang untuk berurusan, orang tersebut akan tanya kerani..

"Bos ada tak?"
kerani jawab: "Tak ada"
Siapa lagi yang saya boleh jumpa?
kerani jawab: "Encik nadmin" sambil menunjukkan bilik saya..

atau ada yang terus ke bilik saya..bos tak ada ya?...awak tolong itu ini..itu ini...

huhu...

para pembaca budiman, sebab itu saya susah hati bila bos tak ada..
bos, balik la cepat...

Monday, May 11, 2009

Mula Bekerja

Saya sudah kembali semula bekerja pada hari Isnin minggu lepas bersamaan dengan 4 Mei 2009..
Huhu..agak berdebar-debar melangkah ke pejabat..
sudah lama tidak bekerja..haha
mood malas bekerja juga sudah ada...
tapi saya tiba agak awal di pejabat..kira-kira jam 7 pagi..
dengan memakai blazer warna hitam..seluar hitam..kemeja kuning cair yang digosok isteri..
saya melangkah dengan malas..

dan seperti yang dijangka, hari pertama, saya sudah mula bekerja...walaupun tanpa komputer..bila kerja sudah diberi..saya patuh sahaja..haha..terpaksala menumpang komputer staf yang bercuti..tugas pertama saya ialah:

"saya perlu menyediakan surat penempatan saya sendiri..haha..dan rakan-rakan lain yang sama-sama pulang ke pejabat setelah 6 bulan berkursus.."

Memang kesibukan kerja akan terus mengekori saya apabila kaki saya melangkah ke pejabat..apabila kaki melangkah masuk, maka kepala pun akan berfikir soal kerja..cuma pada kali ini ada dua azam yang saya sematkan:

1) saya akan berusaha untuk memanfaatkan dan menghabiskan kerja/tugasan secepat mungkin di pejabat;
2) saya akan memberi lebih tumpuan kepada isteri saya memandangkan isteri saya sedang sarat mengandung 7 bulan..

Itulah azam saya...2 bulan lagi, saya akan jadi seorang bapa..jadi saya perlu juga pulang awal...
ah, bosan menaip..nak kerja lagi..

Tuesday, April 14, 2009

Barang Bayi











Kawan-kawan,

Saya baru sahaja pulang dari Perlis setelah selesai Modul Penempatan Daerah selama lebih kurang 2 minggu.

Kerinduan kepada isteri tercinta dan anak yang comel di dalam kandungan mengatasi segala-galanya.

Oleh itu, saya lebih suka bercerita mengenai isteri dan baby kami untuk cerita kali ini. Perjalanan dari Perlis ke Kuala Lumpur dirasakan amat memakan masa. Tidur, bangun, tidur semula dan bangun semula...kenapa tak sampai-sampai lagi ni?

Bertolak jam 2.00 petang pada petang Ahad dan tiba di Intan Bukit Kiara pada jam 9.00 malam..Berita gembira yang diterima ialah peserta DPA diberikan pelepasan selama satu hari..


Yeay, esok cuti!!!
maka isteri saya juga mengambil cuti kecemasan..haha
Hari Isnin, kami menghabiskan masa bersama-sama..


Perkara penting yang perlu diselesaikan hari ini ialah membeli kelengkapan untuk ibu dan bayi memandangkan usia kandungan hampir mencapai tujuh bulan..
Isteri mengadu,
Sandal sudah tak muat..kaki mengembang..
Jadi kedai kasutlah yang pertama dituju..
"Abang, baju tak cukup"..
Jaya Jusco juga dituju..beli baju ibu mengandung sekali dengan skirt panjang..

Kemudian meninjau-ninjau pakaian bayi..
"Eh, macam mana nak pilih baju ni?"
Belek-belek baju..
oh, rupanya ada peringkat umur pada baju bayi..
comel-comel baju baby..
"abg, tak sabar nak ada baby..comelnya"..
itulah ungkapan yang keluar dari mulut isteri

Tak banyak yang kami beli..

Baju baby - 2 pasang
Napkin - 15 helai
Sarung tangan - 2 pasang
Sarung kaki - 2 pasang
"Cap" baby - sehelai
Kain apa ntah (isteri cakap boleh pakai buat bedong) - sehelai..

Itu sahaja untuk bulan ni..bulan depan beli lagi...
Harga baju baby ni mahal jugak la..lebih mahal daripada baju saya sendiri..








Friday, March 27, 2009

Pi Peghelih

Salam kawan-kawan,
Minggu depan 29 April 2009, saya dan 78 rakan-rakan Diploma Pengurusan Awam yang lain akan ke Perlis untuk Modul Penempatan Daerah..
Saya ditempatkan di DUN Beseri..kampung mana? saya tak tau lagi..
Penempatan ni bukan macam program universiti dulu..
Satu Kampung, seorang sahaja yang ditempatkan..
cuak juga dan agak berdebar-debar..haha
Maklumlah, seorang sahaja satu kampung..kalau ramai-ramai tak pa juga kan..

Semasa penempatan ini, kami perlu mengadakan program kemasyarakatan di kampung tersebut dan mengenalpasti masalah-masalah yang wujud seperti keberkesanan sistem penyampaian kerajaan kepada penduduk kampung, masalah tanah terbiar, masalah kemiskinan dan lain-lain..

eh, dah lewat..
malam ini saya ada mess nite bersama Tan Sri KSN dan TAn Sri KPPA..
jumpa lagi..

Monday, March 02, 2009

Bayi Yang Comel

Kawan-kawan,
Hampir dua bulan saya tak ceritakan apa-apa di blog ini..
Baru minggu lepas saya selesai menghabiskan Modul Disiplin dan Ketahanan Diri Tentera..
Modul tersebut diadakan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram Johor..
Banyak pengalaman baru...memang menarik...muka saya pun dah macam tentera..
badan pun dah makin "tough"(haha)

Tapi, untuk Modul Tentera tersebut, saya akan ceritakan lain kali..
Gambar pun saya tak dapat lagi..
Bila buat cerita bergambar, baru seronok kan?..

Hari ini, saya nak menceritakan hal rumah tangga saya..
Setelah dua minggu tidak pulang ke rumah kerana perlu mengikuti Modul Tentera..
Maka isteri yang manja pun merajuklah dia..
Kekadang menangis, kekadang muncunglah bibirnya..
Mujur, rajuknya itu dibuat-buat sahaja...maka saya sebagai suami pun berusahalah memujuk..
rajuknya tak lama..dapat 1 sms merajuk..dua sms saya hantar untuk memujuk, maka cairlah hatinya..

Salah satu cara untuk memujuk ialah bertanyakan mengenai bayi di dalam kandungan..
Ya..Bayi kami..benih cinta kami berdua..
Maka, saya berjanji untuk membawa isteri melihat bayi kami..
Isteri telah berkali-kali memaklumkan bahawa ketika kandungan mencapai usia 5 hingga 6 bulan, sudah boleh dilihat jantinanya..

Fahamlah saya isteri teringin benar melihat bayi kami..
Untuk memujuk hatinya yang lara kerana sering ditinggalkan, maka kami ke klinik yang terdekat..

Doktor pun scan perut isteri saya..
Alhamdulillah, telah hampir sempurna kejadiannya..
Doktor menunjukkan tulang belakang...doktor ukur..
Alhamdulillah sihat..doktor dekatkan lagi pandangan..doktor ukur bahagian kepala..
Alhamdulillah pembesarannya normal..
Doktor tunjukkan jantung bayi yang berdetak..Alhamdulillah..sihat..

Saat yang isteri tunggu iaitu untuk melihat jantina bayi kami..
tiba-tiba, bayi bergerak dan berpusing ke belakang..haha
Doktor cakap:
"amboi, dia malu"
Bayi kami agak aktif bergerak..menyukarkan doktor untuk mengenalpasti jantinanya..
doktor cuba lagi..
tetapi tak dapat juga..
akhirnya doktor mengalah..hahaha..

O,
Baby tak nak tunjuk kat ibu dan ayah dulu ye..
tak apa..Ayah dan ibu sabar menunggu..dua tahun ayah dan ibu nak dapat baby, akhirnya Allah kurniakan jua..

Babyku sayang..membesar dengan sihat ye..
Jaga Ibu ye sayang, selalu temankan ibu ye..
Selalu hiburkan hati ibu ye sayang..

Oh, itu sahaja dulu untuk kali ini..

Friday, January 02, 2009

Wajah Saya Yang Terkini: Modul POLIS

Inilah wajah terbaru saya...
Pada waktu ini, saya sedang berendam dalam sungai setelah tamat Inokulasi Individu..
Inokulasi Individu ini perlu dijalani setiap peserta DPA yang mengikuti Modul Disiplin dan Ketahanan Diri Polis..
Dijalankan di Pusat Latihan PGA (Pasukan Gerakan Am) di Ulu Kinta, Perak..
Inokulasi Individu ini lebih kurang macam simulasi suasana perang..
Peserta tak pegang apa-apa senjata..
Cuma perlu menyelamatkan diri..Kami dilepaskan secara berkumpulan..
Kami perlu melalui jalan atau lebih tepat lagi parit yang telah ditetapkan..
kalau parit tu rendah, kami perlu merangkak cara biawak..
kalau tinggi sikit, kami perlu merangkak cara bayi..
kalau lagi tinggi, jalan itik...
Kesimpulannya, kami perlu bergerak ikut bentuk muka bumi yang melindungi kami..
Kalau kami angkat kepala atau badan melebihi had yang sepatutnya, maka akan melayanglah nyawa..
Sebab di atas parit tersebut, kami dihujani dengan peluru-peluru hidup...
Senjata jenis apa yang digunakan, tak berapa pasti.. lebih kurang M-16 aje..
Bingit juga telinga..tapi kami perlu terus bergerak..

Sebaik sahaja terdengar bunyi tembakan, kami perlu menjerit:
"DOWN"...

Kemudian...untuk bergerak:
"MOVE....MOVE"

itulah yang berlaku sampaila ke sungai...apabila sampai, apa lagi, berendam la..ertinya kumpulan dah sampai ke tempat yang selamat..

bersihkan diri..sebab sepanjang perjalanan, kami perlu melalui kawasan berlumpur, berpasir, ada anak sungai..nak lebih bernasib baik, ada pacat menghisap darah kotor..haha

memang menarik modul ni..saya dapat mengetahui tugas polis yang sebenarnya...

Gambar di Pusat Latihan PGA



Latihan Kawad PORU (Public Order Riot Unit)


Latihan Menembak

Malam Mes