Showing posts with label Buku. Show all posts
Showing posts with label Buku. Show all posts

Monday, September 27, 2010

Pencapaian Ramadhan: Mudah-mudahan berterusan

Bulan Ramadhan dan 1 Syawal dah pun berlalu..
Banyak perkara yang terjadi..
Tapi 1 pun tak terluah di sini..

Mungkin sebab terlalu sibuk dengan tugasan harian..
dan mungkin juga tak ada idea nak menulis..
Mungkin kedua-dua sebab ini menyukarkan saya untuk mencatat sesuatu di dalam blog ini..
Pencapaian saya sepanjang bulan Ramadhan ialah:

i) Berpuasa 1 bulan
ii)Menunaikan solat terawih tiap2 malam
iii)Khatam Al-Quran
iv)Menghabiskan pembacaan "Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata" hasil tulisan Fatini Yaacob
v)Menghabiskan pembacaan "Kenang-Kenangan Hidup" tulisan Prof Dr. HAMKA..
vi)Menyiapkan proses memohon pasport yang hilang
vii)Membawa anak dan isteri bersiar-siar setiap hujung minggu

Itulah pencapaian hidup saya sepanjang bulan Ramadhan yang lalu..Kalau dikenang-kenang, susah juga untuk melakukan semuanya dalam bulan-bulan lain..mungkin berkat Ramadhan, saya dapat melakukannya. Saya berdoa semoga dapat meneruskan pencapaian ini dalam bulan2 yang lain juga..
Menghabiskan bacaan Al-Quran, menghabiskan pembacaan Natrah dan menghabiskan pembacaan Kenang-kenangan Hidup..

Saya banyak membaca rupanya dalam bulan Ramadhan..Natrah dan Kenang-kenangan Hidup adalah dua buah buku yang tebal..Kedua-duanya adalah biografi kehidupan manusia..Natrah adalah biografi tentang hidup manusia lain manakala Kenang-kenangan Hidup adalah biografi penulis sendiri.

Sebuah kitab Al-Quran dan kedua-dua buah buku ini meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri saya..sering saya menitiskan air mata ketika membaca ketiga-tiganya..

Sejak bulan Ramadhan, perasaan empati saya menjadi semakin tebal.. jika melihat ayah membawa anak membonceng motosikal..saya akan berkata kepada anak saya:
" Huda, bersyukurlah kita ada kereta..walaupun kecil cuma..sekurang-kurangnya kereta kita ada pendingin hawa..kesian pakcik dengan anaknya tu.. kena habuk dan berpanas.. Alhamdulillah sayang"
Mulai bulan Ramadhan juga, saya melebihkan nilai yang disedekahkan.. dan saya berazam untuk meneruskannya..mudah-mudahan..InsyaAllah..
Banyak yang saya cerita amalan saya sepanjang bulan Ramadhan..
bukan untuk mendabik dada..tetapi untuk mengingatkan diri sendiri.. kerana saya selalu membuka blog ini..
Mudah-mudahan saya dapat meneruskan amalan-amalan ini dalam bulan yang lain juga..InsyaAllah..amiiiin..
Agak suram juga cerita tanpa gambar..
Jadi, teman-teman, nikmatilah gambar-gambar ini sekadar untuk halwa mata kita bersama:



Gambar-gambar ketika di Taman Burung KL (KL Bird Park) : Abah dengan Ummi yang terlebih gembira..hehe..Huda muka selamba saja


Gambar raya pertama kami sekeluarga: Huda dengan ummi berbaju baru, abah sahaja yang pakai baju raya dua tahun lepas. Dah memang tanggungjawab seorang abah 1 Malaysia, pakaian anak isteri didahulukan..hehe

Huda suka sangat kalau rumah yang dikunjungi ada halaman yang luas..petik bunga dan main paip air yang paling Huda suka.. nampaknya abah kena pindah Felda.. Kat KL tak mampu nak ada halaman yang luas.


Raya hari tu, sebab rumah wan di B.Pahat dan rumah atok di JB lebih luas dan ada halaman, Huda dah boleh berjalan sebab rajin berlatih..dan hasilnya bila di pasaraya, abah tak payah dukung Huda lagi..Huda berjalan sendiri..Huda paling suka susun barang kat sini

Monday, January 25, 2010

Sang Pemimpi

Saya baru sahaja selesai membaca novel Sang Pemimpi, karya Andrea Hirata.

Melalui novel ini, saya dapat simpulkan yang Penulis sangat ingin berkongsi kisah kehidupan beliau sebagai salah satu daripada pengajaran dalam hidup..

Dan agar kita tidak takut untuk bermimpi..mencapai dan berusaha sehabis baik untuk merealisasikan mimpi-mimpi kita..

Dalam novel ini, Andrea Hirata mempunyai pandangan bahawa hidup ini ibarat mozek-mozek yang suatu hari nanti pasti ada mozek-mozek lain yang akan melengkapkan mozek yang tercipta pada hari ini..

Gaya penceritaan yang bersahaja pada mulanya dan mengundang ketawa pada akhir setiap kisah mozek kehidupan beliau..paling tidak pun, senyuman pasti terukir apabila beliau mengisahkan tentang kenakalan zaman remaja 3 orang kawan rapat (sahabat yang sangat sejati).

Lama kelamaan, cerita menjadi semakin serius terutamanya ketika dua orang sahabat, Arai dan Ikal merantau ke Pulau Jawa dengan wang yang mereka kumpul sejak tingkatan 1 semata-semata untuk merealisasikan mimpi mereka untuk ke menara gading..malah seorang lagi sahabat mereka, Jimbron turut berkorban apabila memberi semua wang simpanan yang dia ada kepada kedua-dua orang sahabat sejatinya itu kerana menyedari dia tidak sebagus mereka dalam pelajaran..
Untuk merelisasikan mimpi bukan mudah..
Mereka, dari keluarga miskin..perlu bekerja sebagai kuli mengangkut hasil laut bagi menampung perbelanjaan ke sekolah menengah dan dalam masa yg sama turut menabung bagi persediaan ke universiti..pekerjaan ini mereka lakukan setiap pagi sebelum ke sekolah..

Ya, bukan mudah...tapi mereka masih mampu melakukannya..memang menginsafkan..agar mereka tidak tercicir, mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk bersekolah..hal ini dijelaskan berkali-kali di dalam novel ini..di sebalik kejadian demi kejadian yang mengundang tawa, terselit pengajaran yang mengesankan..

Setelah tamat sekolah menengah, mereka merantau ke Pulau Jawa dengan menumpang kapal mengangkut barang..dan apabila ditanya oleh mualim kapal mengenai kesanggupan mereka melakukan kerja-kerja berat di atas kapal, jawapan yang diberikan:

" kami sudah biasa susah, sejak kami buka mata bahkan sejak dalam kandungan" menggambarkan betapa sukarnya kehidupan mereka..

Mereka saling menyokong dan melindungi antara satu sama lain..kalau ada yang jatuh, dibangunkan..kalau ada yang takut, diberanikan..kalau ada yang lemah, saling menguatkan..itulah Arai dan Ikal di dalam Sang Pemimpi..

Kata-kata yang dituturkan oleh watak-watak utama di dalam Sang Pemimpi sangat mengesankan..terutamanya Arai..Antaranya: " Kau tahu, orang seperti kita tak punya apa-apa kecuali semangat dan mimpi-mimpi, dan kita akan bertempur habis-habisan demi mimpi-mimpi itu" dan " Tanpa mimpi, orang seperti kita akan mati".
Bacalah kawan-kawan, nescaya kita tidak akan takut untuk bermimpi..

p/s.: melalui carian di google, nampaknya filem Sang Pemimpi bakal ditayangkan di Indonesia..dan yang lebih menarik, ada seorang pemimpin di sana bercadang membawa filem ini ke daerah-daerah kecil supaya lebih ramai anak Indonesia mampu bermimpi..

bilakah filem seperti ini akan dibawa masuk ke negara kita?..cukuplah kita disogokkan dengan kisah pocong atau suster ngesot sahaja dari seberang sana..

Saturday, December 19, 2009

Edensor: Mesti Baca Untuk Mereka Pernah Bermimpi Untuk Mengembara

Edensor menceritakan tentang kehidupan Ikal (Andrea Hirata) dan Arai semasa mereka menuntut di Sorbone, Perancis..

Apa yang menarik ialah Ikal menceritakan tentang perwatakan rakan sekelasnya yang terdiri daripada pelbagai bangsa..diceritakan dalam bentuk yang sangat menggembirakan..namun mempunyai pengertian yang sangat dalam..Memang benar seperti yang dinyatakan penulis apabila beliau menggambarkan bahawa rakannya dari Britain amat gemar melontarkan pendapat dan menyanggah teori yang dikemukakan pensyarah mereka..namun dalam bentuk yang beradab..

Manakala dalam perbincangan, pelajar dari Amerika gemar mendominasi...lain pula halnya dengan pelajar dari German yang apabila ingin mengemukakan pandangan, mereka memberikan pandangan yang betul-betul matang,sangat hebat dalam hal matematik..

Pelajar-pelajar Yahudi pula gemar berbual sesama sendiri dengan suara yang rendah..merancang sesuatu yang seolah-olah akan mengubah negara atau lebih besar lagi dunia..

dengan nada bersahaja, Andrea mengungkapkann bahawa pelajar-pelajar dari negara membangun di dalam kelasnya seperti belajar cuma sekadar untuk lulus dan agak ketinggalan dalam memahami pelajaran..

Pandangan ini seperti ada kebenarannya..saya banyak kali mengangguk-angguk sendiri membaca pandangan penulis..sambil tersenyum..banyak lagi yang perlu diperbaiki untuk kita mencapai standard negara maju..

Lebih kagum dan bersemangat, apabila saya membaca catatan perjalanan Lintang dan Arai merentasi Eropah dan seterusnya ke Afrika..terasa saat-saat mereka susah apabila cuma memakan daun pokok ceri untuk meneruskan kehidupan.. menghadapi saat-saat sukar apabila berhadapan dengan bahaya..

Menariknya pesanan ibu Muslimah: "jika ingin menjadi manusia yang berubah, kita perlu bersekolah (menuntut ilmu), banyak membaca Al-Quran dan mengembara".

Mengembara..ya..mengembara..menariknya pengembaraan mereka berdua..banyak daerah-daerah yang dilalui dan banyak juga manusia yang ditemui..pengalaman yang menarik sekali..

Setiap apa yang diceritakan..segalanya terbayang dengan jelas di dalam minda saya walaupun saya tak pernah ke Eropah..

Dan dengan keyakinan bahawa apa yang terjadi semuanya aturan Tuhan, akhirnya Lintang tiba di Edensor, tempat yang selama ini hanya muncul dalam mimpinya..

Saya memang tak pandai mengkritik..saya cuma ingin mengesyorkan agar novel ini dibaca oleh mereka yang pernah, sering, atau sedang bermimpi untuk mengembara..walaupun bangsa-bangsa lain sangat hebat, namun dengan semangat dan keyakinan yang ada, akhirnya Lintang dan Arai mampu menandingi kehebatan rakan-rakannya yang lain... mampu..ya..kita mampu sebenarnya..asalkan kita berani bermimpi..

Edensor : Pengenalan

Saya baru sahaja selesai membaca novel Edensor,

Karya Andrea Hirata..Edensor merupakan salah satu daripada 4 buah novel Andrea Hirata di dalam tetralogi Laskar Pelangi.. Membeli novel ini di saat poket tengah sesak, sedikit pun tidak menimbulkan keresahan..kerana saya cukup berpuas hati..terasa hidup lebih bersemangat setelah selesai membacanya..

Pengalaman pengembaraan mengelilingi Eropah dan langsung ke Afrika, dengan wang yang sangat terhad, membuatkan saya tidak takut untuk bermimpi..seperti yang terjadi kepada Ikal dan Arai yang mendapat sokongan penuh F.Somke kerana mereka berani bermimpi..

Novel ini memberi semangat pengembaraan kepada pembacanya dengan diselitkan dengan keyakinan ke atas sesuatu yang telah Allah tetapkan..

Ah, tak sabar mahu bercerita lebih banyak..

Saya akan sambung lagi..


Thursday, June 18, 2009

Lasykar Pelangi

Kawan-kawan,

Kemalasan untuk bekerja telah melanda saya pada pagi ini..bermula dengan tidur selepas solat Subuh pagi tadi..wah..terasa sangat mengantuk..dan rasa malas..

Kawan-kawan,
Dalam beg yang saya bawa ke tempat kerja hari-hari, saya bawa novel Lasykar Pelangi..rasa ingin bermalas-malas, baring-baring sambil baca novel tersebut..dan habiskan novel itu hari ini juga..saya baru baca 1/3 daripada jumlah muka surat novel itu..memang best..kebiasaannya, novel-novel yang saya beli, saya akan habiskan hari itu juga...kalau tak mampu, mungkin 2, 3 hari..tapi memandangkan terlalu banyak perkara yang perlu diselesaikan dan terlalu penat apabila pulang dari kerja..saya tak dapat habiskannya walaupun dah hampir seminggu saya membelinya..

Kawan-kawan,
Saya membeli novel Lasykar Pelangi di MPH Alpha Angle (Jaya Jusco) di Wangsa Maju..berdekatan dengan rumah sewa saya..apabila mendengar mengenai cerita arin (http://arennaz.blogspot.com/) mengenai filem ini, hati saya melonjak-lonjak untuk mengetahui mengenai apakah sebenarnya Lasykar Pelangi dan bagaimanakah cara Andrea Hirata menulis novel (memandangkan ini novel pertamanya) sehingga diangkat ke layar lebar?..

Tapi,
Malangnya, saya rasa dalam kunjungan yang entah ke berapa kali, barulah saya menemui novel ini..itupun dengan bantuan isteri dan adik ipar saya..rupa-rupanya novel ini tersorok di rak yang terbawah di kedai buku tersebut..bukan, bukan rak untuk pameran..tapi rak untuk simpan buku..memang betul-betul tersorok..

Memang seronok membaca buku ini..saya rasa lebih baik membaca novel ini sebelum menonton filemnya..barulah anda boleh berimaginasi tanpa dihadkan oleh bayangan filem..kisah tentang 10 orang kanak-kanak yang lahir dalam keluarga yang serba kekurangan..namun mempunyai semangat untuk terus belajar..juga kisah mengenai sekolah yang akan ditutup sekiranya jumlah murid yang baru mendaftar tidak cukup 10 orang..kisah guru yang mengajar bukan untuk menyara hidup, tetapi kerana tanggungjawab kepada agama dan bangsa..

Dalam 1/3 novel ini (yang baru saya baca)..saya sangat kagum dengan kesungguhan para Lasykar Pelangi ini (10 orang kanak-kanak itu) untuk menuntut ilmu..sehingga Allah memberi kelebihan kepada salah seorang daripada mereka (Lintang namanya) untuk mudah memahami teori matematik dan kemudian menghuraikan kepada rakan-rakan dalam bentuk yang lebih mudah difahami..

Kawan-kawan..memang menarik novel ini..bacalah.anda akan merasakan anda juga salah seorang daripada Lasykar Pelangi itu..dan untuk makluman semua, novel yang saya beli itu merupakan cetakan kedua yang dikeluarkan oleh PTS Litera..

ok, saya nak memulakan tugas hakiki saya..

Friday, October 19, 2007

Surat-surat Perempuan Johor

Novel yang sudah lama aku idam-idamkan ini akhirnya berada dalam genggaman sebaik sahaja gaji pertamaku sebagai PTD aku keluarkan dari mesin ATM. Aku beli pada 8/10/2007 sebaik sahaja selesai aku belanja isteri berbuka puasa. Aku beli novel ni di MPH Alpha Angle, Wangsa Maju. Ertinya perkara kedua yang aku belanjakan dengan gaji pertamaku ialah dengan membeli novel ini dan satu lagi novel. Novel itu ialah TUHAN MANUSIA. Karangan penulis yang sama.

Sebagai bekas pelajar Undang-undang dan turut sempat menjadi pengamal undang-undang walaupun sebentar, Surat-surat Perempuan Johor (SSPJ) meninggalkan kesan yang mendalam dalam diriku. Ada antara petikan dlam surat-surat tersebut mempertikaikan bagaimana undang-undang yang tidak ada kaitan sama sekali dengan bangsa Melayu boleh diterima dengan mudah walaupun pada ketika itu iaitu sewaktu Johor di bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar, sudah ada undang-undang sendiri di Johor. Surat yang diutus oleh Ungku Hamidah di Turki kepada kekandanya yang berada di Johor turut menyatakan kekecewaannya kepada pemuda-pemuda Johor. Dengan mudah hakim yang dilantik oleh Inggeris membuat keputusan berdasarkan undang-undang Inggeris dan secara langsung mengetepikan undang-undang sedia ada di Johor. Namun, tiada sebarang tindakan diambil. Lemahnya semangat pemuda pada waktu itu..


SSPJ juga mengajak pembaca supaya merenung dan menggali semula sejarah Islam dan Tanah Melayu supaya Umat Islam dan Bangsa Melayu dapat mengembalikan semula jati diri.. Umat Islam dipecahkan mengikut sempadan negara dan bangsa untuk memudahkan kita dijajah..Semangat untuk Islam semakin terhapus..sebaliknya semangat untuk bangsa yang semakin naik..akibatnya bangsa Arab mempertikaikan kemampuan bangsa Turki untuk mentadbir Kerajaan Uthmaniah..Akibatnya juga, bangsa Kurdis tidak ada negara..merempat di sempadan Iraq..baru-baru ini juga, Turki telah menyatakan yang mereka juga akan melancarkan serangan kepada puak Kurdis..


Sebagai satu umat..kita mesti bersatu..bantu-membantu..supaya tidak ada lagi mereka yang merempat..Umat Islam Bangladesh yang datang untuk bekerja di Malaysia harus dibantu..bukan ditekan ibarat hamba..begitu juga dengan warga Indonesia yang beragama Islam..mereka ini harus kita tolong kerana mereka dan kita masih berpegang pada Akidah yang sama..

Tuesday, August 14, 2007

Novel-novel yang Aku Rindu

Aku ada mempunyai beberap buah novel yang memang aku suka membacanya. Tetapi novel-novel tersebut telah lesap dari pandangan..biasanya novel-novel yang lesap dari pandangan aku ini, ada seseorang yang meminjamnya dan tidak memulangkan semula kepadaku..antara novel-novel yang sering aku rindu dan aku tidak jemu untuk mengulang baca beberapa kali ialah novel-novel karangan HAMKA dan Faisal Tehrani.

Novel-novel HAMKA mempunyai maksud yang mendalam mengenai cara dan corak kehidupan, pergaulan antara manusia dan manusia, manusia dan alam dan manusia dan Tuhan..

Manakala Faisal Tehrani merupakan penulis generasi baru yang berani berterus terang dalam karangan ciptaannya.. Bersifat ketuhanan dan menaikkan semangat..itulah yang aku suka..

Aku membaca novel bukan sekadar untuk membelai jiwa..sebaliknya aku membaca novel untuk membina jiwa, membentuk hati, dan menajamkan fikiran..
Oleh itu, aku agak memilih novel-novel yang aku akan baca..Di bawah ini merupakan beberapa novel karangan HAMKA dan Faisal Tehrani yang aku rindu..




TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJK

Ini merupakan novel HAMKA pertama yang aku baca..sungguh mengasyikkan percintaan Zainudin dan Hayati.. Hinggakan novel ini dijadikan bahan perbincangan dalam perjumpaan-perjumpaan dan usrah yang aku ikuti...

Kisah Zainudin yang bangkit semula setelah kehilangan "Hidupnya" iaitu Hayati..

Di dalam novel ini HAMKA turut menceritakan keindahan Bumi Minangkabau iaitu Sumatera Barat..memang cantik Bumi Minangkabau..Sesiapa yang ingin berkunjung ke sana perlu membaca dahulu novel ini. Apabila sampai, sudah tentu anda akan tercari-cari tempat-tempat yang disebutkan HAMKA di dalam novel ini..terasa lebih hidup novel ini apabila tempat yang disebut itu berada di hadapan mata..dan sudah pula anda jejakinya..

Oleh itu, kepada mereka yang baru mengintai-ngintai untuk bercinta, bacalah novel ini dan fahami maksud tersirat di sebalik setiap patah perkataan yang HAMKA nukilkan di dalamnya.. novel ini juga sesuai untuk mereka yang mencari-cari kekuatan setelah jatuh di dalam hidup...

MERANTAU KE DELI

Novel ini menceritakan mengenai kehidupan suami isteri..sangat sesuai dibaca oleh mereka yang ingin melangkah ke alam rumahtangga.. Sifat-sifat yang ada pada suami dan isteri yang diceritakan oleh HAMKA di dalam novel ini, boleh dijadikan panduan dalam kehidupan seharian..

Menceritakan bagaimana sepasang suami isteri bersusah payah membina kehidupan mereka..bila sudah senang, si suami melupakan pengorbanan isterinya...

Salah satu kata-kata yang ada di dalam novel ini yang memberi gambaran tentang kehidupan kita di dunia ini ialah:

" Dalam hidup, kita perlu sentiasa
mendaki dan menuruni...memang payah untuk mendaki bukit..namun
bersabarlah..kerana kita pasti akan sampai ke puncak..apabila berada di
puncak..jangan lalai dan leka..kerana kita pasti juga akan menuruni lurah..mudah
juga untuk menuruni, tapi berhati-hati kerana mungkin kita akan
tergelincir..bila sudah berada di kaki bukit..kita perlu bersedia dan berusaha
untuk mendaki bukit yang seterusnya..itulah kehidupan dunia..jalan rata yang
akan kita tempuhi hanyalah di akhirat nanti..waktu itu, kita tak perlu mendaki
atau menuruni lagi.."


Setakat ini dulu aku bercerita tentang novel-novel yang aku rindu... banyak lagi..tapi tak cukup masa..bagaimana anda? ada novel atau buku yang anda rindu? bolehlah kita berkongsi bersama..

Friday, August 03, 2007

SETEGUH TEKAD: PERJUANGAN

Aku malu sendiri selepas membaca buku ini..terasa payah benar diriku ini untuk menginfakkan diri ke jalan Allah apabila dah bekerja dan berumahtangga..ku berasa terlalu banyak masa yang perlu aku bahagikan..keluarga...kerjaya..dan untuk Agama..sudahnya, pergerakanku dalam kegiatan Jemaah aku kurangkan..atau boleh dikatakan tidak ada..apa yang aku lakukan untuk membina agama dan bangsa?..

Dulu, di kampus boleh bergerak aktif..macam-macam perkara, aktiviti dan program yang aku buat dan sertai..terasa lain benar bila dah tidak berada di alam kampus..

Setelah habis satu buku aku baca, baru aku sedar apa yang aku lalui hanya biasa sahaja jika dibandingkan dengan Cikgu Sidek..mempunyai lapan orang anak dan semuanya dibawa bersama sewaktu melanjutkan pelajaran di Amerika..
Dalam pada kesusahan hidup di negara orang, Cikgu Sidek masih ada masa untuk menyumbang kepada agama..Aktif dalam kegiatan Abim dan keagamaan di Amerika..berjalan ke sana ke sini untuk berusrah..menyampaikan ceramah..
Aku menangis sendiri di waktu dinihari..teruk benar diriku..aku akan berusaha untuk memperbaiki diri..aku tak mahu menjadi orang biasa yang hanya bekerja, dan berkeluarga..aku mahu melakukan lebih dari itu..aku mahu menyumbang sesuatu untuk agama dan bangsaku..

terima kasih Cikgu Sidek kerana menyedarkan aku..terima kasih kepada Farah, adik iparku kerana sudi meminjamkan buku ini kepadaku..



Panduan Untuk Guru


Saya merasakan guru-guru, bakal guru, dan mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pendidikan patut membaca buku ini..


Sesuatu yang menarik dalam autobiografi ini ialah bukan sekadar catatan dan kehidupan Cikgu Sidek..sebaliknya, terdapat sesuatu yang perlu direnung lebih dalam..


Mengenai kehidupan seorang guru, cikgu Sidek sedikit sebanyak menyedarkan bahawa guru ada bukan untuk mengajar mereka yang telah pandai..sebaliknya guru berperanan mengajar setiap pelajar yang ada di dalam kelas..


Pelajar yang sedikit terkebelakang dalam memahami pelajaran tidak harus ditinggalakan begitu sahaja..menjadi tanggungjawab seorang guru untuk membimbing pelajar itu mengikut tahap pelajar tersebut..itulah baru dikatakan guru itu seorang guru yang baik..bukan sekadar mengajar, tetapi membimbing..


Tidak ada orang yang dilahirkan dalam keadaan bodoh..tujuan ke sekolah adalah untuk menjadikan orang bodoh itu kepada pandai..tapi dia tak boleh terus pandai..ada yang cepat, dan ada yang lambat..


Teringat kata-kata Abah bila ada orang bertanya kenapa semua anak abah menjadi..Abah juga seorang pendidik..bermula sebagai seorang guru sekolah vokasional..kemudian melangkah menjadi pensyarah Politeknik..kemudian berlari menjadi pensyarah universiti..jawab Abah, "Saya mengajar anak orang untuk jadi pandai. Sebab tu anak-anak saya pun pandai".


Oleh itu saya mengesyorkan kepada pada pendidik agar membaca buku ini..dan kepada rakan-rakanku yang menjadi pendidik, ingatlah bahawa anda mendidik generasi masa hadapan..didiklah sebaik mungkin kerana profesion ini mrupakan profesion yang sangat mulia..

Monday, July 30, 2007

ULASAN BUKU: SETEGUH TEKAD


TAJUK .: SETEGUH TEKAD
PENULIS .: Profesor Dr. Sidek Baba
HARGA .: RM13.00
HaLAMAN .: 320




Buku yang ditulis oleh Cikgu Sidek ini benar-benar menyentuh perasaan dan menaikkan semangat saya. Pada mulanya saya hanya mahu membelek buku ini sekali lalu.
Namun, saya terus membacanya tanpa henti. Bermula jam 11 malam, hari Jumaat sehinggalah jam 5 pagi hari Sabtu.
Autobiografi ini penuh dengan semangat dan emosi. Satu peringkat, saya menitiskan air mata..sampai ke satu peringkat, semangat saya marak menyala....
Begitulah hebatnya buku ini...setiap insan yang saya jumpa, pasti saya mengesyorkan kepada mereka untuk dibaca...banyak pengajaran yang boleh diambil dari buku ini.

Saya membahagikan pengajaran daripada buku ini kepada beberapa bahagian:

1) Kecekalan dan keazaman untuk mengharungi hidup yang semakin mencabar
2) Peranan suami/bapa dan isteri/ibu di dalam rumahtanga
3) Kesungguhan yang perlu ada kepada mereka yang terlibat dalam gerakan

Jadi, saya akan membincangkan ketiga-tiga pengajaran ini satu demi satu dalam tulisan saya yang seterusnya........Sesuatu yang menarik di dalam buku ini ialah prakata yang ditulis oleh A.Samad Said..Rugi sangat kalau tak baca..jumpa lagi...