Thursday, August 09, 2007

Lakukan Sesuatu


Saya mendapat emel dari seorang kawan menceritakan kisah Ani, seorang saudara baru yang melakukan sesuatu yang mampu dilakukannya untuk membantu agama dan masyarakat...bagaimana dengan kita?..


Personaliti: Ani dekatkan Islam kepada pelancong
Oleh Hasliza Hassan

Sukarelawan di Masjid Negara hapus salah faham agama dikait dengan keganasanSALAH faham terhadap Islam dapat diperbetulkan jika masyarakat bukan Islam diberi penjelasan sebenar mengenai ajaran Islam kerana majoriti yang mempunyai pandangan salah itu memperoleh maklumat daripada sumber tidak tepat.

Sukarelawan Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Ani Kim Abdullah, 51, berkata masyarakat bukan Islam terutama pelancong yang melawat Masjid Negara kebanyakannya terkejut apabila diberitahu mengenai Islam.

Beliau yang menjadi sukarelawan di Masjid Negara berkata, ada antara pelancong yang datang melahirkan rasa gembira untuk mengetahui hakikat Islam sebenar kerana ia memang jauh berbeza daripada fahaman yang mengaitkan Islam dengan keganasan.“Sedih apabila ramai mengaitkan Islam dengan keganasan hanya kerana mereka mendapat maklumat yang salah. Saya rasa penting bagi kita memberitahu mereka mengenai Islam sebenar kerana majoriti memang tidak tahu apa-apa mengenai Islam.“Oleh itu apa yang mereka peroleh daripada media sama ada televisyen atau akhbar, itulah yang diterima bulat-bulat. Apabila kita beritahu mereka keindahan Islam, mereka terkejut kerana tidak sangka selama ini mereka mempunyai tanggapan salah,” katanya.

Beliau yang di temui di hadapan ruang solat Masjid Negara mengakui berasa puas apabila dapat memberi maklumat kepada pelancong dari serata dunia yang datang berkunjung ke salah satu lokasi yang menjadi tarikan pelancong luar
di negara ini.

Lebih menggembirakan hatinya apabila pelancong yang datang untuk melihat keindahan reka bentuk struktur bangunan Masjid Negara memberi maklum balas positif serta menunjukkan minat mengetahui lebih lanjut mengenai Islam.

Melihat kepada tugas yang dilakukan, sukarelawan di Masjid Negara ibarat seperti penyambut tetamu yang mengalukan kedatangan pelancong dengan senyuman mesra dan bersedia menjawab setiap persoalan dengan ramah. Ani berkata, beliau akan memulakan perbualan ringkas dengan pelancong untuk membuatkan mereka berasa selesa seperti bertanyakan sama ada mereka memerlukan penerangan mengenai masjid itu.

Katanya, apabila melihat mereka mula berminat untuk mendapatkan lebih banyak maklumat, perlahan-lahan beliau akan membawa perbualan kepada prinsip rukun Islam yang lima secara ringkas kepada mereka.“Semua itu adalah perbualan biasa tetapi secara tidak langsung kita suapkan maklumat kepada mereka. Ini bukan ceramah jadi kita tidak boleh beritahu Islam itu begini dan kena buat begini. Takut nanti mereka tidak boleh terima.“Sebenarnya mereka tidak tahu mengenai Islam dan kita tidak boleh fikir mereka tahu. Lagipun, orang Islam sendiri tidak banyak bercakap atau beritahu maklumat sebenar. Berapa ramai sangat orang bukan Islam yang baca buku mengenai Islam.
“Semua
faktor ini perlu kita ambil kira dan dengan cara itu kita akan tahu bagaimana hendak mendekati mereka. Bukan semua pelancong yang datang akan bertanya dan kita pun tidak boleh nak dekati mereka semua,” katanya.Beliau berkata, selain maklumat mengenai sejarah dan perkembangan Masjid Negara, beliau juga sering ditanya soalan umum mengenai Islam antaranya kenapa wanita Muslim perlu menutup aurat dan apakah status wanita dalam Islam.

Oleh itu katanya, beliau perlu memikirkan jawapan yang boleh diterima dan menepati rasional akal kerana bagi yang tidak mengenali Islam pastinya sukar untuk menerima alasan semua itu ditentukan Allah.“Jika kita kata menutup aurat adalah suruhan Allah, mereka tidak akan berminat. Jadi kita terangkan kenapa wanita menutup aurat ialah kerana hendak tingkatkan taraf wanita supaya lelaki tidak lihat mereka hanya sebagai objek.

“Apabila berbual dengan wanita bertudung, selalunya kita akan hargai apa yang diperkatakan kerana tidak ada yang mengganggu perbualan. Ini pendekatan yang kita ambil supaya mereka dapat melihat kebaikan di sebalik suruhan itu,” katanya.

Ani mula berjinak dengan tugas sukarelawan di Masjid Negara sejak Februari lalu apabila seorang kawan yang juga sukarelawan memberitahu mengenai aktiviti Islamic Outreach Abim memberi penjelasan mengenai Islam kepada pelancong yang datang.Berasakan beliau boleh menyumbang kepada penyebaran syiar Islam, ibu kepada tiga cahaya mata itu meluangkan masa antara jam 3 hingga 6.30 petang untuk berada di sudut yang disediakan di hadapan ruang solat iaitu kawasan yang dibenarkan melawat kepada pelancong luar.

Beliau turut ditemani suaminya, Mohd Abdul Kader dan kadang kala anaknya, Nursakina datang membantu terutama bagi memberi penerangan kepada golongan muda yang lebih serasi berbual dengan mereka yang sebaya.

Selain tugas sukarelawan, beliau yang mempunyai syarikat membekal bahagian kapal terbang banyak terbabit dengan aktiviti amal termasuk menguruskan biasiswa untuk pelajar Muslim di China yang ingin melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat.

Beliau turut memberi perlindungan kepada keluarga Muslim yang terkandas di Malaysia antaranya pereka fesyen terkenal Hollywood, Sugia dan seorang doktor berbangsa Iran yang selamat daripada peperangan Iran-Iraq dan kini menjadi psikiatri di Bosnia.

Ani juga banyak terbabit dalam persidangan anjuran Pusat Penyelidikan Sejarah, Seni dan Budaya Islam (IRCICA) yang dikendalikan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan menjalin hubungan baik dengan pelbagai organisasi Muslim di Damascus serta Kaherah.

Berdasarkan sumbangan aktif itu, beliau dianugerah Tokoh Saudara Baru Majlis Tilawah al-Quran Saudara Kita 2007 anjuran Nusantara Gems Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Islamic Outreach Abim.Anugerah Tokoh Saudara Baru bagi mengiktiraf mereka yang terbabit secara aktif berdakwah dan membimbing saudara baru memahami serta mendalami Islam.

Menceritakan kisah bagaimana beliau mengenali Islam dan kemudian mengambil keputusan memeluk Islam, anak kelahiran Kedah itu berkata, semuanya bermula apabila beliau berasakan hidupnya terumbang ambing kerana tiada arah tuju.Sebagai remaja berusia 18 tahun yang juga yatim piatu, beliau berasakan perlu mencari haluan hidup yang boleh memberi ketenangan kepada jiwanya yang sentiasa memberontak.

Beliau yang yakin dengan kewujudan Tuhan mula membuat penyelidikan mengenai pelbagai agama dan mendapati Islam adalah agama yang memberi jawapan jelas terhadap persoalan mengenai kehidupan.Katanya, bukan mudah untuk menjadi seorang Muslim terutama apabila tidak mendapat sokongan serta bantuan yang diperlukan.

Baginya yang dilahirkan sebagai seorang berbangsa Cina menghadapi kesukaran kerana tidak diterima baik oleh masyarakat Melayu.“Saya ada pergi ke organisasi untuk mereka yang ingin memeluk Islam tetapi mereka tidak banyak membantu. Cara saya peluk Islam ini boleh dikatakan bersifat peribadi kerana ia antara saya dengan Allah.“Selepas dua tahun memeluk Islam saya berkahwin. Ilmu mengenai Islam banyak saya peroleh daripada buku yang banyak masuk ketika itu selain bimbingan suami.

Sejak 1991, saya banyak terbabit dengan aktiviti berkaitan Islam,” katanya.Beliau berkata, bekerja untuk Allah ganjarannya dijamin dan lebih penting, Allah tidak pernah mengkritik setiap usaha yang dilakukan hambanya. Malah, kebaikan bukan saja untuk akhirat tetapi kegembiraan yang dirasakan di dunia juga adalah ganjaran Allah yang tidak ternilai.

Oleh itu katanya, beliau akan terus melakukan kerja untuk mendapat keredaan Allah dan pada masa sama memberi manfaat kepada umat Islam. Ani turut melahirkan harapan untuk melihat Pusat Sosial, Kebudayaan dan Komersial Islam yang lengkap dengan masjid, premis kebudayaan, kedai makan, pusat kraf dan penubuhan sekolah berasaskan prinsip Islam yang memiliki kemudahan terbaik untuk melahirkan Muslim.

No comments: